Ibu maut ditikam anak kandung
Sinar Harian
Jun 29, 2018 21:36 MYT
Jun 29, 2018 21:36 MYT
Seorang ibu menemui ajal selepas ditikam anaknya sendiri ketika berada di dapur dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung RTB Bukit Canggang, di sini, petang tadi.
Kejadian itu disedari suami dan anak mangsa berusia 12 tahun yang baru pulang dari solat Jumaat kira-kira jam 2.10 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, setelah sampai di hadapan pintu rumah, dapati suspek yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik itu meluru berlari ke luar rumah dalam keadaan tangan berdarah dan hanya memakai tuala.
Menurutnya, suami mangsa cuba mengejar anaknya itu (suspek) sebelum menghubungi polis.
Orang ramai berkumpul di luar rumah mangsa.
“Susulan itu, kereta peronda MPV tiba ke lokasi. Telah berlaku pergelutan antara polis dengan suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
“Manakala, mangsa berusia 50 tahun itu telah ditemui terbaring di ruang dapur dengan kesan tikaman pisau di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, polis kemudian telah merampas pisau yang ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati, semasa kejadian hanya mangsa, suspek dan lima kanak-kanak asuhan berusia lingkungan dua hingga empat tahun berada di rumah tersebut, namun tiada sebarang kecederaan pada kanak-kanak itu.
“Ketika ditahan, suspek kelihatan seperti kurang waras, bagaimanapun, siasatan masih dijalankan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.