Ibu maut dibunuh anak sendiri

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 23, 2020 13:36 MYT
Mangsa yang berusia 90 tahun dibunuh oleh anak perempuannya berusia 53 tahun yang dikatakan mengalami masalah mental. - Gambar PDRM
Seorang anak tergamak membunuh ibunya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Lahar Kepar, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam Jumaat, mangsa yang berusia 90 tahun dibunuh anak perempuannya berusia 53 tahun yang dikatakan mengalami masalah mental.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa dan sering bertengkar dengan ibunya.

Namun pertengkaran dua beranak itu memuncak semalam sehingga suspek bertindak memukul muka ibunya dengan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian cucu perempuan mangsa yang juga anak suspek berusia 16 tahun berada di rumah itu.

Menurutnya, remaja berkenaan yang berada di dalam bilik terdengar pertengkaran antara ibu dan neneknya namun dia dilarang keluar dari biliknya.

"Semasa pertengkaran dia terdengar ibunya mengugut mahu membunuh neneknya sambil terdengar bunyi barang jatuh." katanya.

Akibat ketakutan, dia kemudiannya menghubungi sepupunya untuk meminta bantuan sebelum bertindak keluar melalui pintu belakang rumah.

Menurut remaja itu , keadaan rumah ketika itu gelap dan sebaik lampu dinyalakan dia melihat neneknya dalam terbaring dalam keadaan berlumuran darah manakala ibunya pula di luar rumah.

Sementara itu, anak bongsu mangsa yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa sudah tidak bernyawa bertindak menghubungi polis.

Norzainy berkata, berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga, suspek mempunyai masalah penyakit mental dan masih menjalani rawatan psikiatrik.

Mayat warga emas berkenaan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan suspek pula dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan mental sebelum polis menahannya bagi siasatan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

#dibunuh anak sendiri #dua beranak #ibu maut #Kepala Batas #Lahar Kepar #masalah mental #pertengkaran #pulau pinang
;