Ibu maut, bayi dikandung terkeluar dalam nahas dua motosikal
Muhafandi Muhamad
Februari 19, 2022 08:12 MYT
Februari 19, 2022 08:12 MYT
PASIR MAS: Anak yang dikandung terkeluar dari perut ibunya selepas terlibat dalam nahas dua motosikal di Kampung Lumpur, Pasir Mas awal malam tadi.
Bayi berkenaan yang bernyawa sejurus nahas tersebut bagaimanapun meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir, kejadian yang berlaku sekitar jam 7 malam mengorbankan seorang ibu, anak dalam kandungannya dan seorang remaja berusia 18 tahun, manakala seorang lagi kanak-kanak cedera parah.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nor Haliza Abdul Uazaib, 25, bayinya dan Muhammad Shakim Mohd Zaki, 18.
Manakala yang cedera parah dikenali sebagai Nurul Iman Maisara Mohd Khairi, 6, dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.
Menurut Mohd Nasaruddin, siasatan awal mendapati remaja berkenaan memasuki laluan bertentangan sehingga mengakibatkan motosikal yang ditunggangi ibu serta anaknya dirempuh.
Pertembungan dua buah motosikal itu menyebabkan wanita berkenaan tercampak dengan bayi yang dikandung terkeluar di atas rumput di bahu jalan berkenaan.
Nor Haliza maut di tempat kejadian manakala remaja lelaki pula meninggal dunia di Hospital Pasir Mas.
Bayi yang terkeluar dari perut ibunya bernyawa dan dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan kecemasan.
Bagaimanapun bayi berkenaan dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 12 tengah malam tadi.
Nur Iman Maisara, anak kedua Nor Haliza masih menerima rawatan di hospital dengan kecederaan yang agak serius.
Nohd Nasaruddin berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.