Ibu maut, anak parah dilanggar lori muatan cat

Bernama
Ogos 15, 2017 19:39 MYT
Dalam kemalangan 6.15 pagi itu, V.Santha, 47, dari Lorong Sri Kuantan, Taman Intan di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dada.
Seorang suri rumah terbunuh manakala anak lelakinya parah apabila kereta Honda City yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori membawa muatan cat di persimpangan lampu isyarat Taman Tas di sini, pagi tadi.
Dalam kemalangan 6.15 pagi itu, V.Santha, 47, dari Lorong Sri Kuantan, Taman Intan di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dada.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata ketika kejadian, Santha dan anak lelakinya yang memandu kereta itu, S. Ananthan, 25, yang juga pensyarah di sebuah universiti di Kuala Lumpur, sedang menghala ke Kuantan dari Maran.
"Apabila sampai di persimpangan jalan berkenaan, kereta itu berhenti kerana lampu isyarat merah tetapi sebuah lori dari arah yang sama tidak sempat berhenti lalu melanggar belakang kenderaan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.
Akibat rempuhan itu, Santha maut di tempat kejadian manakala Ananthan parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan.
Mereka yang tersepit dalam kereta itu dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas.
Anak perempuan mangsa yang duduk di hadapan, S. Paavithra, 22, yang juga penuntut di sebuah universiti di Rusia, tidak mengalami kecederaan.
-- BERNAMA
#anak #ibu #kemalangan #Kuantan #maut
;