Ibu masih berpantang keluar mengundi di Rantau
Rahimah Abdullah
April 13, 2019 10:34 MYT
April 13, 2019 10:34 MYT
Ibu baru dua hari bersalin dan masih berpantang adalah antara pengundi awal di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di SJKC Chung Hua pagi tadi.
Nur Erina Jamaluddin, 25 tahun turun mengundi dan ditemani datuknya.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama beliau mengundi dan sanggup menunaikan tanggungjawab itu walaupun masih berpantang demi memilih wakil rakyat pilihannya.
“Saya baru dua hari bersalin. Saya datang dari Taman Tanjung, Rantau dan proses pengundian tadi tiada masalah. Saya mahu pilih wakil rakyat saya, sebab itu saya turun,” katanya kepada media selepas mengundi di SJKC Ching Hua, Rantau pada Sabtu.
Katanya lagi, beliau tidak mempunyai masalah sepanjang proses mengundi kerana pihak SPR banyak memberi bantuan terutama kerusi roda.
“Suami saya bekerja hari ini, namun saya ditemani datuk saya dan juga dibantu petugas SPR,” katanya lagi.
Justeru beliau mengharapkan mereka yang masih belum mengundi agar segera menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka sebelum pusat pengundian ditutup 5:30 petang ini.
“Kepada pengundi orang muda yang masih mengundi, cepatlah keluar mengundi,” ujarnya.
Nur Erina adalah antara 20,793 daripada 20,804 pengundi biasa layak mengundi pada PRK DUN Rantau.