'Ibu malaikat di dunia, kiriman Tuhan' - Kisah YouTuber Marbitter pulang ke kampung halaman

Hasimi Muhamad
April 25, 2023 08:00 MYT
Marham menampilkan ibunya, Asiah Ngah dalam hampir setiap video yang dimuat naik di laman sosial Marbitter - Foto Instagram/Marbitter
KETIKA ramai mengejar cita-cita di ibu kota atau bandar-bandar besar, Marham Mohd Yusof pula memilih pulang ke negeri kelahirannya.
12 tahun bergelar anak perantau di Kuala Lumpur, pemuda ini memutuskan untuk berada di sisi ibu tercinta di Kuala Nerus, Terengganu.
Meninggalkan kerjaya ketika pandemik COVID-19 meresahkan dunia, Marham percaya rezeki Tuhan ada di mana-mana.
Cintakan tempat kelahiran dan suasana bersama ibu dan rindukan momen indah zaman kanak-kanak antara sebab dia mengambil keputusan itu.
"Saya fikir bila saya dah berusia nanti, saya akan pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama-sama ibu saya dan menghabiskan waktu-waktu usia untuk melakukan balik perkara-perkara nostalgia semasa zaman kecil saya.
"Kita hanya merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Benda itu (balik kampung) tak sampai saya pencen pun... saya ingat mungkin ketika umur saya sekitar 40 atau 45 saya akan pulang.
"Ketika (awal) pandemik, saya bukan kehilangan kerja pada masa itu. Saya ada kerja, cuma hati saya terdetik, 'kenapa tidak... Ini masa yang tepat untuk saya pulang dan melakukan apa yang saya suka'," kata Marham kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Mesra disapa Mar, dia tidak sekadar balik ke kampung tanpa sebarang perancangan.
Menjaga ibu, Asiah Ngah adalah keutamaan buatnya. Mencari rezeki selagi berkudrat juga, dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Berbekalkan pengalaman, pada tahun 2020 Marham memulakan studio kayu dengan konsep tradisional.
Memaparkan budaya dan kehidupan kampung, dia sendiri tidak tahu apakah percaturan itu akan membuahkan hasil atau sebaliknya.
Anak bongsu daripada enam beradik ini hanya 'bersenjatakan' doa seorang ibu.
"Emak saya tak cakap panjang, dia tengok saya buat... dia percaya dengan apa yang saya buat dan suka apabila saya berada di samping dia.
"Macam ini, untuk orang yang ada emak, kita nak beritahu doa ibu itu sangat penting. Saya sendiri, saya tulis doa apa yang saya nak. Saya bagi kepada emak saya... saya suruh emak saya baca setiap hari dan doakan saya.
"Sebab ibu itu adalah malaikat di dunia, kiriman daripada Tuhan. Saya minta emak saya mendoakan agar saya mendapat kejayaan di kampung. Tetapi bagi saya dan emak juga, konsep rezeki itu ada di mana-mana," kongsinya lagi.
MISI BAWA BUDAYA KE MATA DUNIA
Setahun merancang kandungan dan melakukan penggambaran, video pertamanya disiarkan di media sosial 'Marbitter' pada 1 Januari 2021.
Langit tidak selalu cerah, Marham akui hampir berputus asa.
Duit simpanan mencecah RM20,000 dilaburkan untuk bergelar 'YouTuber'.
Hari demi hari, video yang dikongsi masih kurang mendapat reaksi daripada pengguna media sosial.
Namun, semuanya berubah empat bulan kemudian apabila video 'Marbitter' mula tular.
Lebih istimewa, Marham turut menampilkan ibunya dalam kebanyakan video yang dihasilkan.
Dengan elemen kasih sayang kepada ibu, haiwan, hubungan dengan kawan-kawan serta rasa syukur, misinya adalah mahu kehidupan kampung diperkenalkan ke mata dunia.
"Macam 'followers' saya dari Indonesia dan tak pernah datang Malaysia, dia ingat Malaysia ini negara yang terlalu moden.
"Mereka cakap, 'Oo ada lagi kampung rupanya di Malaysia'. Begitu juga orang Singapura yang rindukan suasana lama, sebab Singapura sangat dekat dengan orang kita. Jadi bila dia tengok video saya, dia rindukan suasana dulu yang mereka rasa sewaktu kecil.
"Inilah peluang yang saya cipta, untuk mengetengahkan budaya orang Malaysia. Saya bukan hanya mengetengahkan budaya orang Melayu, bahkan saya mengetengahkan budaya orang Malaysia - Cina, India, Kadazan-Dusun dan sebagainya," tambah Marham.
BARANGAN LAMA DIGUNA SEMULA
Lesung batu, tempayan antik, tembaga, serta dapur kayu antara elemen tradisional yang ditonjolkan.
Menurut Marham, semua barangan tersebut adalah milik keluarganya yang sudah lama tidak digunakan.
Dibesarkan sebagai anak petani, perkara itu menjadi kelebihan buatnya untuk memanfaatkan kebun-kebun yang dimiliki keluarga dan saudara-mara.
"Macam saya sendiri ada kebun cili, dan saudara pula ada kebun kacang dan timun.
"Bagi orang, semuanya 'Marbitter' ada tanaman... terung, kacang, tembikai, dan sebagainya. Tetapi sebenarnya, kadang-kadang saya tak perlu tanam pun semua itu, saya hanya pergi dan ambil.
"Semua itu berdekatan dengan rumah saya sebab ia milik saudara-mara saya," katanya sambil mengakui bahawa saudara-maranya menyokong kerjaya dia ketika ini.
Dalam pada itu, Marham memaklumkan studio kayunya dijangka siap sepenuhnya sekitar sebulan lagi dan akan turut memberi peluang kepada para peminat untuk merasaikan pengalaman inap desa.
Bagi jangka masa panjang pula, dia merancang untuk memenuhkan kawasan sekitar rumahnya dengan pelbagai tanaman.
Sementara itu, sempena sambutan Aidilfitri, Marham akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan saudara mara, rakan-rakan serta para peminat, yang dijadual pada 29 April ini.
#Marbitter #Aidilfitri 2023 #Marham Mohd Yusof
;