Ibu main peranan penting mengekang penularan COVID-19 - Tun Siti Hasmah

Astro Awani
Mei 10, 2021 22:31 MYT
Dr Siti Hasmah menyarankan agar ibu-ibu mendapatkan vaksin bagi memastikan mereka sukar dijangkiti virus COVID-19 dan tidak takut untuk menerima suntikan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seseorang ibu perlu memainkan peranan yang sewajarnya dalam usaha mengekang penularan COVID-19 yang sedang melanda di seluruh dunia.
Pesanan itu disampaikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam satu ucapan sempena Hari Ibu yang disiarkan di Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Siti Hasmah menasihatkan ibu-ibu agar memastikan anak-anak kecil tidak terdedah dengan virus COVID-19 yang kini semakin meningkat kesnya.
Beliau menyarankan agar ibu-ibu mendapatkan vaksin bagi memastikan mereka sukar dijangkiti virus COVID-19 dan tidak takut untuk menerima suntikan.
"Ibu perlu lah lihat diri kita sendiri ini sihat atau tidak. Akan dapat suntikan anti virus atau tidak. Kalau tidak, tolong daftarkan nama.
"Jangan takut, jangan bimbang, saya yang dah berumur 95 tahun dah pun dapat suntikan dua kali, saya sihat segar, boleh bercakap dengan saudara-saudari semua," katanya.
Beliau juga menjelaskan peranan seorang ibu sangat penting dalam masyarakat terutama dalam usaha mendidik anak-anak.
Dr Siti Hasmah menyarankan agar ibu-ibu memastikan anak-anak mereka membesar dengan sihat dan sempurna.
#Dr Siti Hasmah Mohd Ali #ibu #Peranan #penting #COVID-19 #program vaksinasi #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
;