Ibu kru kapal yang hilang sebak mengenang anak
Radhi Muslim
Disember 10, 2018 19:22 MYT
Disember 10, 2018 19:22 MYT
Ibu seorang kru nelayan yang hilang di perairan Pegasus Reef dekat Kinabatangan, 5 Disember lalu, sukar menahan air mata tiap kali mengenangkan nasib anak lelakinya yang masih hilang.
Juana, 54 tahun, berkata dia mengetahui tentang kejadian itu daripada menantunya, iaitu isteri kepada mangsa, Jari Abdullah.
Katanya, sejak kejadian itu mereka sekeluarga sukar melelapkan mata dan sukar untuk berhenti menangis.
“Dialah anak pertama yang bekerja untuk menyara kami sekeluarga. Kami bukannya orang senang, kenapalah tiba-tiba perkara begini berlaku pada kami?
“Saya sangat berharap pihak keselamatan segera mencari dan selamatkan anak saya. Saya juga betul-betul memohon kepada pihak kerajaan agar membantu kami,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, hari ini.
Sepanjang temubual dijalankan bersama Juana, air matanya seringkali menitis sehingga sukar untuk bercakap serta bercerita.
Sementara Itu, isteri Jari, Juniati, 25 tahun, berkata dia mendapat tahu tentang kejadian itu daripada isteri salah seorang lagi mangsa kru bot nelayan yang turut hilang dalam kejadian berkenaan.
Katanya, suaminya baru bekerja sebagai nelayan dan tidak memiliki telefon.
“Dia tiada menghubungi sehingga hari ini. Dia tiada telefon. Kira-kira seminggu yang lalu adalah hari terakhir kami berhubung.
“Kami bukannya orang senang. Hanya suami yang bekerja menyara kami selama ini dengan pendapatan yang tidak tentu,” katanya.
Katanya, mereka memiliki seramai itga orang anak dan dia terlalu bingung memikirkan keadaan mereka ketika ini kerana tiada sesiapa yang memberikan belanja harian.
“Anak kami yang kecil baru berusia sebulan, bayi lelaki. Sangat banyak keperluan kami sebenarnya.
“Apatah lagi anak kami seorang yang berumur tujuh tahun, perlu mendaftar masuk ke darjah satu. Dia sampai sekarang masih bertanya ke mana ayah, ke mana ayah.
“Saya tidak tahu mau jawab apa dan buat apa sekarang. Kami di rumah hanya mampu menangis sahaja,” kata Juniati.
Jari sebenarnya rakyat tempatan, orang Sabah, dan bukannya warganegara Indonesia.
Sementara itu, isteri seorang lagi mangsa, Norhaidah, 40 tahun, berkata dia hanya tahu kejadian itu sehari selepas ia berlaku.
“Tauke tempat suami bekerja yang hubungi saya. Kemudian saya memberitahu isteri Jari.
“Kali terakhir kami berhubung pada hari siang mereka hilang. Tiada apa-apa petanda dari suami.
“Terus-terang saya susah bangun dan hanya baring di lantai rumah ini sejak kejadian itu,” katanya.
Semua ahli kelaurga mangsa berharap agar suami-suami dan mangsa dapat ditemui dengan selamat dalam kadar segera.
Terdahulu, pada 5 Disember lalu, bot nelayan mangsa ditemui pihak keselamatan dengan enjin masih hidup di perairan Pegasus Reef.
Sebelum penemuan bot mereka, sebuah bot tunda diserang empat lelaki bersenjata dan seorang kru bot cedera akibat tembakan.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada mangsa diculik kerana belum ada pihak mengubungi meminta tebusan atau sebaliknya.
Polis Sabah mengklasifikasikan kes sebagai orang hilang buat masa ini.