Ibu kongsi kenangan terakhir keluar bersama Zayn Rayyan

Sinar Harian
Disember 13, 2023 16:36 MYT
Hantaran di laman sosial Ismanira mengenai kenangan bersama Zayn Rayyan meruntun hati banyak pihak. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Ibu kepada kanak-kanak lelaki autistik yang ditemui maut dipercayai dibunuh 6 Disember lalu, Ismanira Manaf, 27, berkongsi kali terakhir membawa Zayn Rayyan Abdul Matiin keluar berjalan-jalan dua hari sebelum tragedi hitam itu berlaku.
Hantaran di Instagram miliknya pada Rabu yang memaparkan gambar mereka sekeluarga dirakam pada 4 Disember itu, meruntun hati banyak pihak.
“Waktu ini Isnin minggu lepas, 4 Disember. Ini last (kali terakhir) mommy dan daddy dapat bawak abang berjalan-jalan. Abang dan adik sangat sukan jalan-jalan.
“Dapat pusing mall (pusat beli-belah) makan-makan tu memang happy (gembira) sangat-sangatlah dua beradik ni. Penat ke sibuk macam mana pun mommy dan daddy akan cuba juga bawa abang dengan adik berjalan-jalan. Happy sangat abang waktu ini,” tulisnya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di laman Facebook Ismanira, ibu kepada dua anak itu turut berkongsi semula hantaran ‘surat cinta dari ibu’yang dimuat naik pada 2022.
Luahan hati yang dibuat itu menggambarkan kehadiran Zayn Rayyan yang merupakan anak sulung, banyak mengubah kehidupannya.
“Momen yang mengubah saya selamanya adalah saat anak sulung dilahirkan. Cinta untuk selamanya, anak sulungku, Zayn Rayyan,” katanya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada tengah hari 5 Disember lalu di Damansara Damai, Petaling Jaya sebelum ditemukan meninggal dunia dalam anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokan harinya.
Lokasi penemuan kanak-kanak malang itu hanya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di apartmen berkenaan.
Mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak itu.
Polis kini giat memburu suspek yang terlibat dalam kes jenayah yang mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia ketika ini. - Sinar Harian
#Zayn Rayyan #kasih ibu #identiti pembunuh #kenangan bersama
;