Ibu kandung, rakan dipenjara tiga tahun letak anak dalam sangkar kucing
Sinar Harian
November 13, 2024 15:20 MYT
November 13, 2024 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang ibu kandung dan rakannya mengurung seorang budak lelaki tiga tahun dalam sangkar kucing, mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi mereka hukuman penjara tiga tahun bermula Rabu.
Ibu mangsa berusia 20 tahun yang bekerja di sebuah restoran makanan segera, bersama rakannya, suri rumah, Adibah Mohd Zaini, 35, dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibaca di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin.
Kedua-dua tertuduh juga dikehendaki menjalani bon berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga memerintahkan mereka menyempurnakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam masa enam bulan selepas tamat hukuman penjara tersebut.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang memelihara kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun enam bulan, melakukan penganiayaan dengan meletakkan mangsa dalam sangkar kucing sedangkan ia boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap kanak- kanak itu, di sebuah rumah pangsapuri di Taman Danau Desa di sini jam 8.16 malam pada 10 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Adibah yang tidak diwakili peguam menangis ketika merayu agar mahkamah menjatuhi hukuman ringan dengan alasan menyesal atas perbuatan yang dilakukan.
“Saya menyesal, selepas berada dalam lokap, ia memberi keinsafan dan penyesalan.
“Saya janji tidak akan melakukan kesilapan sama kerana buat masa ini, suami sahaja yang bekerja manakala dua anak kami yang berumur 11 dan setahun dijaga mak saya sedangkan dia tidak sihat,” katanya dalam keadaan teresak-esak.
Sementara itu, ibu kandung itu yang tidak diwakili peguam berkata, telah menyesal atas perbuatan yang dilakukan.
Dia kemudiannya terdiam seketika, sebelum ditegur oleh pihak mahkamah, sama ada mempunyai rayuan lain atau sebaliknya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan sebagai bentuk pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
“Sangkar kucing bukan untuk kegunaan manusia maka kami mohon mahkamah mengambil kira eksibit dikemukakan terutama gambar pelakuan itu.
“Ibu mangsa gagal melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara kanak-kanak itu daripada bahaya,” katanya.
Di mahkamah sama, ibu mangsa itu turut mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan penganiayaan dengan membalut kanak-kanak tersebut menggunakan pita pelekat, yang mana ia boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap mangsa.
Kesalahan didakwa dilakukan di rumah sama jam 3.58 petang pada 21 Februari lalu dan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) akta sama.
Mahkamah menjatuhinya hukuman sama dan memerintahkan pemenjaraan itu berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum ini.
Pada Isnin lalu, dua tertuduh berkenaan dan seorang lagi rakan mereka, Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 25, dihukum penjara 14 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menendang mangsa.
Sebelum ini, kes berkenaan tular di media sosial apabila mendapat kecaman daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan mereka memperlakukan mangsa dengan tidak berperikemanusiaan. - Sinar Harian