Ibu kandung mangsa lemas dalam tong, graduan diploma kaunseling
Shuhada Abdul Kadir
Januari 31, 2021 15:12 MYT
Januari 31, 2021 15:12 MYT
MELAKA: Ibu kandung kepada kanak-kanak yang maut selepas dipercayai lemas dalam tong dan didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini pada Jumaat merupakan graduan Diploma Bimbingan dan Kaunseling.
Menyifatkannya sebagai seorang peramah dan suka menyakat rakan-rakan, Tufah Naziha Md Tarmidi, 26, kakak angkat kanak-kanak malang itu yang juga bekas rakan sekolej suspek wanita berkenaan berkata, mengenali wanita berkenaan, dia tidak menyangka peristiwa tragis ini terjadi kepada adik angkatnya.
“Saya mula mengenalinya bila kami mengambil jurusan sama iaitu diploma bimbingan dan kaunseling namun ketika itu saya di tahun satu dan dia senior saya.
"Jujurnya saya terkilanlah dengan apa yang berlaku dan apabila pagi tadi dua-dua mereka (ibu kandung dan ayah tiri) datang ke Jabatan Perubatan Forensik ini untuk pengecaman, kami pun tergamam,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Ahad.
AWANI Ringkas: Kes dera Melaka | Ibu pernah dapat rawatan psikiatri
Terdahulu, proses bedah siasat di Hospital Melaka baru dimulakan kira-kira jam 11 pagi tadi dan keluarga angkat serta ibu kandung dan ayah tirinya turut hadir bagi membuat pengecaman terhadap jenazah mangsa yang mesra dipanggil ‘Adik’ itu.
Mengulas lanjut, ujar Tufah, ketika pengecaman itu ibunya Norlida Abu Hassan, 50, sempat merayu kepada ibu kandung kanak-kanak itu untuk dikebumikan di kediaman dia membesar di Rawang, Selangor.
“Mereka sampai dulu di Jabatan Perubatan Forensik ini untuk pengecaman, dan ayah tiri dia asyik sebut minta maaf pada Umi sepanjang pertemuan itu.
“Umi pula merayu kepada ibu kandung ‘Adik’ untuk beri izin kali terakhir jenazah dikebumikan di Rawang, namun dia (ibu kandung) cuma menggeleng tanpa berkata apa-apa,” tambahnya.
Terdahulu Astro AWANI melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Siasatan pihak polis bagaimanapun mendapati, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
#mati didera
#Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek
#maut
#meninggal dunia
#lemas
#Tufah Naziha Md Tarmidi
#siasatan
#jenazah
#Hospital Melaka
#perubatan
#Kanak-kanak
#Jabatan Forensik Hospital Melaka