Ibu kandung, kekasih didakwa bunuh anak berusia 4 tahun

Astro Awani
Mac 1, 2021 16:53 MYT
Kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama sengaja membunuh S Dhevanesh di sebuah rumah di Pangsapuri Simfoni, Semenyih, antara 14 dan 18 Februari lalu. - Gambar/ AStro AWANI
BANGI: Seorang wanita dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini, atas pertuduhan membunuh anak kandungnya yang berusia empat tahun bulan lepas.
K Puvaneswary, 30, dan teman lelakinya, N Tanabalan, 27, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah, yang bertindak sebagai majistret.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama sengaja membunuh S Dhevanesh di sebuah rumah di Pangsapuri Simfoni, Semenyih, antara 14 dan 18 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, kedua-dua tertuduh ditahan pada 18 Februari lalu, susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang juga anak kandung suspek wanita.
Mereka ditahan selepas kanak-kanak itu dibawa ibunya ke Jabatan Kecemasan Hospital Kajang dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk menerima rawatan sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati mangsa mengalami kecederaan termasuk terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badannya.
#bunuh anak #anak kandung #dera #Didera #pasangan kekasih #mahkamah #kecederaan #lebam pada tubuh #kanak-kanak empat tahun #bangi
;