Ibu kandung ditahan disyaki dera bayi 10 bulan

Umavathi Ramayah
April 8, 2023 13:25 MYT
Mohamad Fakhrudin berkata, wanita berusia 26 tahun ditahan kira-kira pukul 5.30 petang di rumahnya di Petaling Jaya. - Foto fail/ BERNAMA
PETALING JAYA: Polis menahan seorang suri rumah kerana dipercayai mendera anak kandungnya yang berusia 10 bulan sehingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 26 tahun ditahan kira-kira pukul 5.30 petang di rumahnya di Petaling Jaya di sini selepas mendapat laporan dari Hospital Shah Alam yang mengesan kesan lebam di badan mangsa.
"Kita menerima laporan dari hospital pada pukul 12.28 tengah malam Khamis mengenai satu kejadian penderaan terhadap seorang bayi lelaki berusia 10 bulan.
"Bertindak atas laporan itu, kita menahan ibu bayi itu pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mohamad Fakhrudin memberitahu, bayi itu ketika ini masih lagi ditempatkan di hospital berkenaan dan sedang menjalani rawatan.
Menurutnya, wanita itu kini ditahan reman empat hari bermula Khamis lalu.
Kes itu katanya disiasat mengikut bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika disabitkan kesalahan suspek boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun polis setakat ini belum menahan suami wanita itu.
#dera anak kandung #ibu kandung ditahan #dera bayi #Hospital Shah Alam
;