Ibu jual barang kemas Eda Ezrin bayar peguam

Sinar Harian
Mac 6, 2025 14:25 MYT
Zahara (kanan) ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Wilayah Narathiwat pada Khamis. -Sinar Harian
NARATHIWAT: Ibu kepada penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, iaitu Zahara Mamat, 47, memberitahu dia terpaksa menjual kesemua barangan kemas milik anak sulungnya itu untuk membayar kos guaman.

Ringkasan AI
  • Zahara Mamat, ibu kepada Eda Ezrin, menjual semua barangan kemas anaknya untuk membayar kos guaman sebanyak 500,000 baht (RM65,880).
  • Eda Ezrin, suami, dan empat rakan dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda setelah hakim meneliti keterangan saksi pendakwaan.
  • Zahara melawat Eda Ezrin setiap minggu semasa di penjara dan bersyukur atas pembebasan anaknya.

Menurutnya, keluarganya perlu membayar sejumlah 500,000 baht (RM65,880) daripada jumlah keseluruhan yang diminta oleh peguam iaitu 2 juta baht (RM263,521) bagi empat orang termasuk Eda Ezrin.
"Saya jual semua barang kemas milik dia, dapatlah bayar 200,000 baht (RM26,352). Selebihnya keluarga mentua Eda Ezrin yang selesaikan.
"Syukur Alhamdulillah, Eda Ezrin dibebaskan daripada tuduhan. Dari awal naluri saya mengatakan dia tidak bersalah kerana Eda Ezrin anak yang baik.
"Sepanjang empat bulan Eda Ezrin di penjara hidup saya tak tenang dan setiap masa berdoa agar dia dibebaskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada Khamis.
Menurut Zahara, Eda Ezrin yang mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak umur belasan tahun itu sangat pemurah dengan keluarga.
Ujarnya, penyanyi "Bae Sobar Bea" itu seorang anak sulung yang bertanggungjawab dan banyak membantu menyara tiga lagi adiknya.
Ibu kepada empat anak itu memberitahu, sepanjang Eda Ezrin berada dalam penjara dia setiap minggu melawat anak perempuannya itu pada hari Khamis, waktu lawatan bagi tahanan wanita di penjara.
"Setiap kali melawat saya akan bawakan duit belanja dan tempah makanan untuk dia. Sebagai ibu, hanya itu yang saya mampu lakukan selain tak berhenti mendoakannya," katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan terlepas daripada penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu. -Sinar Harian
#Eda Ezrin #Zahara Mamat #jual barangan kemas anak #bayar kos guaman #penyanyi sohor Kelantan
;