Ibu-ibu jadi cef untuk mangsa banjir di PPS

Bernama
Disember 28, 2023 14:49 MYT
Mangsa banjir, Zuraida Yusof (dua, kanan) bergotong-royong bersama yang lain menyediakan makanan tengah hari semasa tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Ajil hari ini. - Foto Bernama
KUALA BERANG: Para ibu di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, di sini bagaikan cef untuk kesemua 99 mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
Menurut Nurul Fadilah Che Mat, 40, dari Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Gunung Menerong berkata mereka bergilir-gilir memasak untuk tiga kali hidangan setiap hari.
"Kami gotong-royong memasak. Kalau kumpulan ini dah masak untuk sarapan pagi, kumpulan lain akan ambil giliran untuk makan tengah hari dan malam. Minum petang kami cuma makan biskut dan bancuh air teh atau kopi, sekadar alas perut," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tidak timbul isu bekalan makanan terputus di PPS tersebut yang baru dibuka Isnin lepas susulan pemindahan kesemua mereka dari PPS di PPSK Kampung Gunung Menerong yang dinaiki air sebelum ini.
Suri rumah itu berkata apabila diarahkan berpindah ke PPS baharu, kesemua mereka juga bergotong-royong membawa bekalan makanan dari PPS lama untuk ke situ sebelum dibawa oleh trak Angkatan Tentera Malaysia.
Sementara itu, Zuraida Yusof, 46, pula berkata bukan hanya para ibu yang memainkan peranan masing-masing, sebaliknya mangsa lelaki juga tidak berat tulang untuk menjaga kebersihan kawasan PPS berkenaan.
"Memandangkan PPS ini adalah sebuah sekolah dan anak-anak kami juga yang belajar di sini, jadi kami kena jaga la kebersihannya walaupun sekarang ini cuti sekolah. Sebab nanti anak-anak nak masuk belajar semula pun selesa," katanya.
PPS SMK Menerong dibuka pada 8.30 malam Isnin lepas apabila PPS di PPSK Kampung Gunung Menerong terpaksa ditutup akibat dinaiki air dan kesemua 73 keluarga diarahkan berpindah ke PPS baharu.
Bagaimanapun, hanya 33 keluarga sahaja yang memilih untuk ke PPS baharu, manakala selebihnya secara sukarela memutuskan untuk menumpang di rumah saudara mereka yang terselamat daripada musibah itu.
Turut diarahkan tutup oleh pihak berkuasa atas alasan sama ialah PPS di Kampung Batu 23 yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kuala Berang, dengan kedua-duanya membabitkan keseluruhan 447 mangsa.
Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, kesemua PPS di daerah Besut telah ditutup sekali gus menyaksikan penurunan bilangan mangsa banjir gelombang ketiga di negeri itu kepada 5,412 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 6,281 orang yang dicatatkan pada 8 pagi tadi.
-- BERNAMA
#banjir terengganu #pusat pemindahan #kaum ibu #Cef #mangsa banjir #Kuala Berang
;