Ibu-ibu berkerjaya di Selangor, jangan lepas peluang mohon insentif MamaKerja!

Astro Awani
Julai 12, 2024 03:35 MYT
Insentif MamaKerja dibuka kepada 5,000 wanita bekerja yang akan menerima insentif berjumlah RM1,000 dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta.
KUALA LUMPUR: Pendaftaran bagi program insentif MamaKerja, inisiatif di bawah Kerajaan Negeri Selangor bagi meringankan beban ibu berkerjaya, kini dibuka.
Permohonan dibuka hari ini bermula jam 3 petang.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, masih ada 1,000 slot lagi yang dibuka untuk permohonan.
Inisiatif MamaKerja merupakan antara aku janji yang ditawarkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat semasa PRN Selangor, Ogos tahun lepas.
Setakat ini, 4,042 permohonan telah diluluskan sejak dibuka bermula 1 Nov tahun lalu.
MamaKerja merupakan antara janji 100 hari Kerajaan Negeri Selangor di bawah Program 5 Tekad untuk 5 Tahun, untuk meringankan beban penjagaan anak wanita bekerja.
Ia dibuka kepada 5,000 wanita bekerja yang akan menerima insentif RM1,000 seorang, dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta.
Insentif berkenaan akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.
Setakat November hingga Mei, kerajaan negeri telah menerima sebanyak 6,094 permohonan.
Bagaimanapun, 2,052 permohonan ditolak kerana tidak mematuhi kriteria kelayakan atau terlepas tarikh akhir permohonan.
Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi SELangkah atau melalui laman web mamakerja.selangkah.my mulai hari ini.

Pendaftaran Program Insentif MamaKerja Kini Dibuka! Bantuan RM1000 secara one-off khas untuk wanita Selangor yang bekerja bagi membantu meringankan beban penjagaan anak. Permohonan dibuka pada 11 Julai 2024 bermula jam 3 petang. #LifeMadeEasyWithSelangkah #KitaSelangor pic.twitter.com/tyVStXDTyx

— Selangkah Official (@Selangkah_MY) July 11, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Permohonan akan diproses atas dasar 'siapa cepat, dia dapat'.
Wanita yang bekerja di Selangor atau menetap di negeri itu melebihi 10 tahun, mempunyai tiga anak berumur 12 tahun ke bawah dan berpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah, layak untuk memohon.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi 1-800-22-6600 atau e-mel info@selcare.my.
#MamaKerja #insentif #Selangor #ibu berkerjaya