Ibu hidup derita, jadi 'hamba' anak penagih dadah

Sinar Harian
Jun 3, 2024 13:15 MYT
Mohamad (kanan) tinggal bersama neneknya dengan menyewa sebuah bilik di Perling, Johor Bahru
JOHOR BAHRU: Pada saat warga emas lain berehat menghabiskan sisa usia, seorang wanita warga emas berdepan mimpi ngeri apabila diperlakukan seperti hamba abdi oleh anaknya sendiri.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Sharifah, berusia 60-an, yang tinggal di Perling di sini tidak pernah terbayangkan hidupnya menderita pada usia emas akibat perbuatan anak keduanya yang menagih dadah.
Ibu kepada 12 anak itu yang sebelum ini bekerja membersihkan rumah dan menjual nasi lemak membayangkan hidupnya seperti di 'neraka dunia' selama enam bulan tinggal dengan anaknya itu yang berusia 30-an dan merupakan bekas banduan.
"Pelbagai penderitaan terpaksa saya lalui, bayangkan wang hasil titik peluh bekerja sebelum ini dirampas anak saya itu untuk mendapatkan bekalan dadah malah hampir setiap hari dia mengugut dan mengasari saya.
"Kalau tidak ikut kemahuannya, dia akan melarang saya masuk rumah dan membiarkan saya berjemur bawah matahari. Saya terpaksa ikut katanya demi keselamatan diri dan cucu lelaki, Mohamad, 14, yang juga anak kandungnya," katanya ketika ditemui.
Bercerita lanjut, dia berkata, anaknya itu sudah lama berpisah dengan isteri dan anak sulung pasangan itu iaitu perempuan, 13, kini di bawah jagaan bekas isteri manakala Mohamad dijaganya sejak kecil lagi.
Anaknya itu kata Sharifah, selepas berpisah dengan isterinya tidak tinggal bersama-samanya namun apabila suaminya jatuh sakit dia kembali ke pangkuan keluarga.
Menurutnya, anaknya itu mula buat masalah selepas suaminya meninggal dunia pada November 2022 apabila mula menjual barang elektrik di rumahnya seperti peti sejuk, televisyen, penapis air, ketuhar gelombang mikro dan kipas angin menerusi Facebook bagi mendapatkan wang membeli dadah.
Sharifah berkata, dia berasa lebih tertekan apabila anaknya itu semakin hilang pertimbangan apabila bertindak mengasarinya dengan menolaknya dari belakang hingga terjatuh selain mengancam keselamatannya.
"Dia semakin melampau apabila membunuh kucing kami. Malah dia juga menyatakan kami juga akan menerima nasib yang sama kalau tidak ikut kehendaknya," katanya.
Bimbang dengan keselamatan, dia membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai dan juga kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini sebelum anaknya itu diberkas dan dibawa ke pusat pemulihan di Selangor.
"Ini pertama kali dia ke pusat pemulihan. Sebelum ini dia pernah menjalani hukuman penjara beberapa kali. Apa yang membimbangkan dia akan dibenarkan pulang selepas tamat tempoh pemulihan dan kembali ke rumah," katanya.
Berikutan itu katanya, dia meninggalkan rumah di Pulai dan sekarang menyewa bilik di kawasan lain bagi melarikan diri serta mengelak daripada dikesan anaknya itu.
Ketika ini ujar Sharifah, dia yang mengalami masalah anemia tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan pencen suami yang merupakan bekas pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Saya memiliki ramai anak namun lima anak diserahkan kepada kenalan dan saudara-mara sejak kecil atas faktor kesempitan hidup. Saya tidak mahu membebani anak dan lebih gemar mengurus diri serta cucu di bilik sewa.
"Sewa bulanan bilik ini adalah RM450 dan atas faktor kewangan, cucu lelaki saya tidak bersekolah sejak Mei tahun lalu dan ini juga menjadi kebimbangan saya," katanya. - Sinar Harian
#anak derhaka #penagih dadah #bunuh kucing #pukul ibu
;