Ibu hidap kanser mulut, anak buntu mengharap sinar
Muhafandi Muhamad
Disember 10, 2017 06:18 MYT
Disember 10, 2017 06:18 MYT
Tiga beradik di sebuah kampung di Kubang Kerian dekat sini bergantung harap agar ada sinar keajaiban supaya ibu mereka, seorang penghidap kanser, pulih seperti sedia kala.
Mereka juga mengharapkan si ibu tabah berjuang melawan kanser mulut tahap empat yang ditanggungnya memandangkan mereka bertiga masih memerlukan kasihsayangnya.
Ibu tiga beradik ini, Wan Hasyaity Azlin Wan Hassan, 38, seorang ibu tunggal yang menetap bersama ibunya di Kampung Chica, Kubang Kerian, hanya terlantar di rumah sejak disahkan menghidap penyakit itu.
Dia bercerai dengan bekas suaminya empat tahun lalu dan mempunyai tiga orang anak - Syaza Tasnim, 11, Syifat Balkis Shamsul Adli, 10, dan Syirdatul Nur Humairah, 5.
Nenek mereka, Esah Ahmad, 63, berkata, anaknya kini tidak mampu lagi bercakap dan makan kerana kanser tersebut telah merebak ke seluruh lidah.
Menurutnya, Wan Hasyaity hanya mampu minum susu formula melalui tiub yang dipasang pada bahagian hidung.
Kini, berat badannya kian menyusut sehingga 45 kilogram berbanding sebelum ini 72 kilogram.
Sebelum ini, Wan Hasyaity pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kereta di Pasir Hor namun terpaksa berhenti kerana keadaan kesihatannya.
Dia kini hanya bergantung kepada sedikit wang simpanan selain bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk menampung kos rawatan dan persekolahan tiga anaknya yang masih bersekolah.
Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan kewangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank milik Wan Hasyaity Azlin Wan Hassan bernombor 153038521472.
#Esah Ahmad
#jkm
#Kampung Chica
#kanser mulut
#Syaza Tasnim
#Syirdatul Nur Humairah
#tahap empat
#Wan Hasyaity Azlin Wan Hassan