Ibu hamil maut kemalangan motosikal

Bernama
Jun 2, 2024 16:52 MYT
Lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang wanita hamil sembilan bulan. Gambar kecil: Puteri Nur Iman
MELAKA: Seorang pekerja kedai serbaneka yang sarat mengandung anak kedua maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Taming Sari di sini dalam kejadian sekitar 7.20 malam semalam.

Ringkasan AI
  • Seorang pekerja kedai serbaneka yang mengandung anak kedua maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Taming Sari ketika dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Kota Laksamana.
  • Kemalangan berlaku apabila mangsa gagal mengelak sebuah MPV yang secara tiba-tiba keluar dari simpang Jalan Mawar untuk membelok ke arah Pengkalan Rama.
  • Mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan, namun dia dan anak dalam kandungannya disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa Puteri Nur Iman Hamidun, 27, membonceng motosikal bersama suaminya, Muhamad Helmi Abdul Razak, 28, dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Kota Laksamana.
"Bagaimanapun setiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandu oleh wanita berusia 41 tahun, secara tiba-tiba keluar dari simpang Jalan Mawar dan membelok ke arah Pengkalan Rama.
"Keadaan itu menyebabkan motosikal yang ditunggang mangsa dari arah lampu isyarat Pengkalan Rama menghala ke arah Hospital Melaka gagal mengelak dan suami isteri itu terjatuh mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun semasa mangsa yang sarat hamil itu mendapatkan rawatan di Zon Merah, pihak hospital memaklumkan mangsa dan anak dalam kandungannya disahkan meninggal dunia manakala suami mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan Hospital Melaka tidak mengalami kecederaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan Borang Pol. 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca-punca kematian manakala kenderaan terlibat dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.
"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengesan saksi yang melihat kejadian," katanya.
-- BERNAMA
#ibu hamil #maut kemalangan #Puteri Nur Iman Hamidun #Jalan Taming Sari
;