Ibu hamil 7 bulan, suami dan anak selamat kereta jatuh gaung

Adie Sufian Zulkefli
April 26, 2024 12:15 MYT
Anggota pasukan keselamatan menyelamatkan mangsa kemalangan jatuh gaung di Jalan Gunung Inas, Baling, pada Khamis. - Gambar ihsan PDRM
BALING: Seorang wanita yang hamil tujuh bulan berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan sehingga terbabas dan jatuh ke dalam gaung di Jalan Gunung Inas, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu mangsa, Nur Raihan Rumli, 34, memandu kereta jenis Honda City, sementara suami dan anaknya turut berada di dalam kenderaan terbabit.
Beliau berkata, ketika menuruni bukit dan keadaan jalan selekoh, pemandu kereta terbabit hilang kawalan lalu kenderaan itu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.
“Siasatan polis mendapati, ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari rumah mentua pemandu (Nur Raihan) di Kampung Baru Kuak Luar, Pengkalan Hulu, menghala Baling.
“Nur Raihan tidak mengalami kecederaan tetapi perlu dipantau di Zon Merah Hospital Baling, bagi pemeriksaan lanjut keadaan bayi dalam kandungan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun, kata Shamsudin, suami Nur Raihan iaitu Abdul Jalal Mat Zaini, 26, dan anak mereka, Muhammad Adib Kamali Abdul Jalal, 3, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Shamsudin berkata, akibat kemalangan itu, kereta terbabit terbalik dan remuk.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya dipanggil untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam gaung sedalam 10 meter itu.
“Pemandu kereta sempat membawa keluar anaknya sebelum kenderaan menggelongsor menuruni gaung.
“Anggota kemudian melakukan operasi menyelamat isteri mangsa yang masih di dalam kereta," katanya.
#kemalangan #ibu hamil 7 bulan #kereta jatuh gaung #Jalan Gunung Inas
;