Ibu gembira anak lahir tahun baharu, terima ADAM50

Bernama
Januari 1, 2018 15:13 MYT
Rozilawati Aziz mengucup bayinya yang baharu dilahirkan ketika ditemui pada Program Penyerahan Insentif ADAM50 di Dewan Bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini. --fotoBERNAMA
Perasaan gembira jelas terpancar pada wajah Rozilawati Aziz, 39, apabila doa untuk melahirkan anak keduanya pada tahun baharu dan menerima skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) dimakbulkan.
Kelahiran bayi perempuan seberat 3.4 kilogram di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kira-kira 2.30 pagi tadi disifatkan Rozilawati sebagai satu rahmat tidak ternilai untuknya dan suami Mohd Idrus Awang Kechil, 52.
"Alhamdulillah doa saya dimakbulkan dan saya bersyukur apabila melihat bayi selamat dilahirkan. Sepatutnya saya melahirkan bayi pada 30 Dis tetapi dia (bayi) nak keluar lewat sikit," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Rozilawati turut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi insentif itu dan akan menabung setiap bulan bagi menambah dana RM200 yang diterima menerusi ADAM50.
"Saya akan menggunakan simpanan ini dengan sebaik mungkin demi masa depan anak saya kerana simpanan ini boleh digunakan untuk menampung kos pembelajarannya kelak," katanya.
Turut berkongsi kegembiraan seorang ibu muda Nur Zahirah Zahari, 24, yang menyambut kelahiran anak pertama kira-kira jam 8.30 pagi tadi secara pembedahan.
Nur Zahirah ketika ditemui meluahkan rasa gembira kerana tidak menyangka bayi perempuannya itu dilahirkan sebulan lebih awal daripada tarikh jangkaan doktor iaitu pada 3 Februari.
"Saya bersyukur kerana anak saya berpeluang menerima dana ADAM50 dan saya akan menggunakannya untuk masa depannya dengan sebaik mungkin," katanya.
Terdahulu, seramai 10 bayi yang dilahirkan di HRPB hari ini menerima hamper dan skim ADAM50 yang disampaikan oleh wakil daripada Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) Perak.
-- BERNAMA
#ADAM50 #Amanah Dana Anak Malaysia 2050 #Amanah Saham Nasional #anak #ASNB #bayi
;