Ibu enam anak didakwa guna gelaran 'Datuk Seri' tidak diiktiraf
Astro Awani
Mei 18, 2021 14:16 MYT
Mei 18, 2021 14:16 MYT
KUANTAN: Ibu enam anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan menggunakan gelaran tidak diiktiraf.
Tertuduh, Sabariah Hashim, 45 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.
Tertuduh didakwa telah menggunakan gelaran dan panggilan 'Datuk Seri Bakti Setia Temasek' yang merupakan anugerah luar yang tidak diiktiraf.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, jam 3.30 petang pada 28 April lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Mohd Azahari Mat Asin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh, meminta wang jaminan dikurangkan atas alasan menyara enam anak dan seorang ibu yang sudah tua.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.
#gelaran
#Datuk Seri
#gelaran tidak diiktiraf
#ibu enam anak
#kes mahkamah
#Kuantan
#Mahkamah Majistret
#Datuk Seri Bakti Setia Temasek