Ibu, dua anak maut kebakaran rumah kedai
Sinar Harian
Mei 25, 2024 13:10 MYT
Mei 25, 2024 13:10 MYT
BALIK PULAU: Seorang ibu dan dua anaknya maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kebakaran itu menyebabkan seorang wanita Nurul Bowjiya, 58, dan anak lelakinya Muhamad Ibrahim,33, serta anak perempuannya Rahbiah Jasmin,20, meninggal dunia.
"Difahamkan ketika kejadian, wanita bersama tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berada dalam rumah itu.
"Pada mulanya, wanita terbabit bersama dua anak lelakinya berjaya keluar daripada rumah.
"Namun sebaik menyedari anak perempuannya masih berada dalam rumah, wanita itu dengan ditemani seorang anak lelaki masuk semula ke premis, namun ketiga-tiga mereka gagal keluar," katanya ketika dihubungi.
Katanya, ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia berjaya ditemui oleh pihak bomba selepas api dapat dipadamkan.
Tambah beliau, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat.- Sinar Harian