Ibu disyaki kelar mati bayi sendiri direman tujuh hari

Muhafandi Muhamad
Februari 5, 2017 12:00 MYT
Petang semalam (Sabtu), seorang bayi perempuan berusia dua bulan ditemui mati dipercayai dikelar oleh ibunya di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas. - Gambar fail
Ibu berusia 32 tahun yang disyaki mengelar bayi perempuannya sehingga mati semalam direman tujuh hari bermula hari ini di wad psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu pagi tadi.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kota Bharu Rusli Ahmad bermula hari ini sehingga 11 Februari ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, penolong pendaftar mahkamah bersama seorang jurubahasa dan pegawai polis tiba jam 9 pagi di wad berkenaan untuk proses reman itu sebelum dilihat keluar 10 minit kemudian.
Petang semalam, seorang bayi perempuan berusia dua bulan ditemui mati dipercayai dikelar oleh ibunya di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini, jam 2.45 petang dengan pisau pemotong sayur.
Nur Areesa Sofea Jiri ditemui di ruang tamu dalam kesan kecederaan di leher.
Mayat kemudian dibawa ke HRPZII untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mukim Jal Kechik, Tumpat jam 3.15 pagi tadi.
Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memaklumkan suspek merupakan seorang ibu yang bertanggungjawab dan tidak pernah sebelum ini mengalami gangguan emosi bahkan keturunan keluarganya juga tidak mempunyai sejarah penyakit mental.
Namun pada hari kejadian beliau memaklumkan ibu mangsa dikatakan mengalami halusinasi dengan mendengar suara ghaib menyuruhnya membunuh anak bongsunya.
Semasa kejadian berlaku suspek juga dikatakan menyuruh dua anaknya keluar ke kedai sebelum bertindak demikian.
#bayi mati dikelar #ibu kelar bayi #meroyan #psikiatri
;