Ibu diserang strok, empat beradik buntu fikir nasib menjelang Aidilfitri

Muhafandi Muhamad
April 9, 2023 07:40 MYT
Empat beradik dari Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan buntu memikirkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi tanpa ibu di sisi. - Astro AWANI
TUMPAT: Empat beradik dari Kampung Baru Nelayan, di sini, buntu memikirkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi tanpa ibu di sisi.
Ibu mereka, Noriza Hussain, 38, terpaksa ditidurkan selepas diserang angin ahmar pada awal Ramadan lalu.
Keempat-empat beradik yang berusia dari 4 hingga 12 tahun kini dijaga oleh ibu saudara mereka sepanjang bulan puasa ini.
Menurut anak sulung Noriza, Mohd Alif Muhaimin Abdullah, 12, walaupun kelengkapan hari raya sudah diperoleh, namun, mereka mengharapkan ibu mereka dapat bersama pada pagi 1 Syawal kelak.
Selain Mohd Alif, adiknya, Nor Daniya Arisya, 11, Nor Iwanina Afina, 7, dan Muhamad Fayyad Zakuan, 4, ditinggalkan bapa mereka tanpa khabar berita sejak beberapa tahun lalu.
Ibu mereka terkena serangan angin ahmar pada awal Ramadan dan kini mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.
Menurut ibu saudara mereka, keadaan adiknya yang diserang angin ahmar bertambah teruk.
Kesemua adik-beradik berkenaan masih bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat 2.
Terdahulu, keluarga ini dikunjungi oleh wakil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan bagi menyampaikan bantuan zakat dan biasiswa sekolah.
Adik-beradik ini juga mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kisah empat beradik yang menantikan ibu mereka kembali sihat sebelum ini tular di media sosial.
Apa yang mereka harapkan lebaran yang bakal menjelang tiba dapat diraikan bersama ibu mereka yang menjadi tempat bergantung selepas bapa mereka hilang tanpa berita.
#ibu diserang strok #empat beradik #Hari Raya Aidilfitri #Kampung Baru Nelayan
;