Ibu didakwa jirus anak dengan air panas, berang data internet habis

Shuhada Abdul Kadir
September 26, 2023 15:44 MYT
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyimbah air panas terhadap anak kandungnya selepas berang dengan tindakan mangsa yang menghabiskan data internet telefon bimbitnya, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.56 pagi di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang, Melaka pada 27 Jun 2022 lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau dengan sebat jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh yang dikatakan sering memukul anaknya berang dengan tindakan anak kedua daripada empat beradik itu yang telah menghabiskan data internet di telefon bimbitnya.
Tindakan tertuduh terbongkar selepas rakan anaknya menyedari kotoran seperti kesan luka pada baju sekolah dipakai mangsa sebelum ibu remaja itu melaporkannya kepada pihak polis.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira faktor tertuduh dan mangsa tinggal di rumah yang sama.
Mahkamah kemudian bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan selain menetapkan 26 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.
Tertuduh juga tidak diwakili peguam.
#ibu jirus air #dera anak #data internet habis #Ayer Keroh Melaka
;