Ibu didakwa dera anak hingga patah tulang pipi
Astro Awani
Februari 26, 2020 19:21 MYT
Februari 26, 2020 19:21 MYT
Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan mendera anak lelakinya sehingga patah tulang pipi dan lebam di muka serta badan.
Bagaimanapun tertuduh yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendera anaknya yang berusia lima tahun sehingga mengalami kecederaan.
Perbuatan dilakukan di sebuah rumah di Kuala Terengganu antara 14 Januari hingga 20 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-keduanya sekali.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7 ribu dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Selain itu tertuduh perlu melapor diri dua kali setiap bulan di Balai Polis Chendering serta tidak boleh menganggu mangsa dan saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.
#dera
#ibu dituduh dera anak
#Kanak-kanak
#Kuala Terengganu
#mahkamah
#Mahkamah Sesyen
#mangsa
#patah tulang pipi
#penjara
#polis