Ibu diabetes menunggu kaki dipotong, buntu masa depan empat anak, sewa rumah tertunggak setahun
Vivi Sumanti
Januari 25, 2018 09:34 MYT
Januari 25, 2018 09:34 MYT
Seorang ibu yang mengidap penyakit kencing manis kronik dan menunggu masa untuk dipotong kakinya buntu memikirkan kehidupan empat anaknya yang masih mengharapkan kasih sayang dan perhatian.
Noriza Su, 37 tahun, dari Kampung Telaga Lanas di sini mempunyai suami yang bekerja tetapi masih tidak mampu untuk membayar sewa rumahnya yang sekadar RM150 sebulan.
Ini kerana, pendapatan suaminya tidak menentu dan kini, bayaran sewa rumah mereka yang daif itu sudah tertunggak hampir setahun dan mereka sekeluarga kerap kali diminta keluar oleh pemiliknya.
Ketika ditemui Astro AWANI, Noriza memaklumkan, anaknya yang sulung, Muhamad Hafiz Fakri, 17 tahun, terpaksa berhenti sekolah sejak di Tingkatan 4 kerana masalah kewangan.
Sementara itu, tiga lagi anaknya, Muhamad Khairi Annuar, 15 tahun, Muhamad Hazim Aiman, 9 tahun, dan Nur Ain Maisara, 7 tahun, masih bersekolah.
Noriza sendiri sering tidak sihat dan kerap kali perlu mendapatkan rawatan di hospital sejak dikesan mengidap kencing manis tahun lepas.
“Doktor hendak kerat kaki kanan saya, kerana katanya dah buruk, saya tak benarkan. Doktor kata, saya ada masalah buah pinggang pula. Entahlah, saya buntu memikirkan masa depan anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini petang Rabu.
“Sewa rumah sudah lama tertunggak, bil eletrik pun tertunggak, suami kerja tak menentu,” luahnya lagi.
Ketika kunjungan kami, anak bongsunya seolah-olah mengetahui nasib keluarganya yang mahu disiarkan di media.
“Ain kasihan tengok ibu. Ain bercita-cita hendak jadi cikgu, hendak beli rumah untuk ibu, kereta untuk ibu dan bagi ibu duduk dengan selesa,” kata Nur Ain Maisara kepada Astro AWANI.