Ibu dan teman lelaki ditahan dipercayai dera anak berusia lima tahun
Dewi Nur Harasha Alias
September 23, 2019 16:52 MYT
September 23, 2019 16:52 MYT
Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana dipercayai telah mendera anak kandung wanita itu yang berusia lima tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Jelutong, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang memaklumkan wanita berusia 28 tahun dan teman lelakinya berusia 37 tahun ditahan pada jam 12 tengahari Sabtu lepas.
Beliau berkata, polis pada awalnya membuat serbuan di rumah berkenaan kerana mahu menahan suspek lelaki yang dikaitkan dengan kesalahan dadah.
Bagaimanapun ketika anggota polis membuat pemeriksaan lanjut di dalam bilik rumah berkenaan pihaknya menemui seorang kanak- kanak lelaki berusia lima tahun tinggal bersama pasangan itu.
Hasil pemeriksaan lanjut, anggota berkenaan mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam ditubuh kanak- kanak itu.
Berdasarkan siasatan awal, kanak- kanak itu memberitahu dia telah dipukul oleh ibunya dan juga lelaki yang dipanggil 'Daddy'.
Susulan itu, kedua- dua suspek ditahan dan pemeriksaan pihak hospital mengesahkan terdapat kesan lebam di bahagian muka, lengan kanan dan kiri, kaki kiri termasuk kesan luka lama pada bahagian kemaluan kanak- kanak akibat dipukul.
Ujian air kencing mendapati kedua- duanya positif dadah jenis morfin dan methamphetamine ketika ditahan.
Semakan juga mendapati suspek lelaki itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah manakala wanita itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Kedua- dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001
Mangsa telah dimasukkan ke wad Hospital Pulau Pinang ( HPP) untuk pemeriksaan lanjut dan kini dipantau pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
#anak
#dera
#dera anak
#George Town
#Jelutong
#jenayah
#jkm
#Kanak-kanak
#pulau pinang
#siasatan
#suspek
#wanita