Ibu dan bapa tiri 'Adik' bukan panas baran - Ibu angkat kanak-kanak mati dipercayai didera
Shuhada Abdul Kadir
Januari 30, 2021 13:13 MYT
Januari 30, 2021 13:13 MYT
AYER KEROH: “Saya rasa menyesal kerana tidak pertahankan dia, kalau tahu ini pengakhirannya saya tidak akan serahkan kepada ibu kandung itu,” demikian ibu angkat kepada kanak-kanak yang maut selepas ditemui lemas dalam tong dan dipercayai didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka semalam.
Menceritakan kekesalan itu, dia yang berusia 50 tahun dan menetap di Rawang,Selangor berkata kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu baru tiga bulan diserahkan semula kepada ibu kandungnya selepas dia menjaga kanak-kanak itu sejak kecil.
Katanya, dia yang kali terakhir berjumpa kanak-kanak itu yang mesra disapa dengan panggilan ‘Adik’ itu pada awal November lalu, hanya dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan oleh jiran berhampiran rumah keluarga kanak-kanak itu lewat petang semalam, sebelum bergegas ke Melaka.
“Selepas ibu kandungnya mengambil semula ‘Adik’ pada Oktober lalu, saya memang terlalu sedih memandangkan saya bela dia dengan penuh kasih sayang sejak dia berusia kira-kira dua bulan lagi.
“Walaupun perit, itu kenyataan yang saya perlu tempuh memandangkan saya cuma ibu angkat dan ibu kandungnya tetap mempunyai hak mutlak untuk mendapatkan hak jagaannya.
“Tetapi saya kesal apabila hampir tiga bulan saya berjaya pujuk hati hilangkan rindu, saya dapat berita yang cukup tidak boleh diterima, lagi pula ibu kandung dan ayah tirinya juga tidak pernah pula tunjukkan sikap panas baran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menceritakan detik pertemuan terakhir bersama kanak-kanak malang itu, Norlida berkata, ayah tirinya yang bekerja sebagai pemandu lori pernah membawa kanak-kanak itu bersama ke Rawang sebelum mereka bertemu secara ringkas di kedai makan.
“Dia seorang yang sangat cerdik, memahami dan tidak pernah merengek-rengek memintakan sesuatu. Malah diusia seawal itu dia sudah berjaya menghafal surah Al-Mulk yang diajar oleh kakak-kakaknya sepanjang tinggal bersama saya,” tambahnya sambil menyeka air mata.
Semalam Astro AWANI melaporkan, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri kanak-kanak itu yang memaklumkan anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Siasatan pihak polis bagaimanapun mendapati, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat kanak-kanak itu menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Sebelum ini, kisah kanak-kanak itu pernah tular pada Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkan semula kanak-kanak itu kepada ibu kandungnya.
Kisah itu dikongsikan menerusi satu klip video di laman Facebook yang menunjukkan dia dan keluarganya menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak lelaki berkenaan sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya.
#Astro Awani
#Kanak-kanak
#mangsa
#Facebook
#perubatan
#keluarga
#maut
#lemas
#lemas dalam tong
#Ibu angkat
#Taman Krubong Jaya
#Melaka