Ibu dan anak rentung, bapa parah dalam kebakaran di Hutan Melintang
Nazialita Geynna Maharan
Ogos 30, 2017 15:49 MYT
Ogos 30, 2017 15:49 MYT
Dua beranak rentung apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam kebakaran di Jalan Maharaja Lela, Batu 6 1/2, Hutan Melintang, di sini, awal pagi Rabu.
Kejadian jam 3.30 pagi itu meragut nyawa seorang wanita S. Kalaivani, 48, bersama anak perempuannya G.Vikneswary, 13.
Sementara itu, suami S.Kalaivani, R.Ganasegaran, 51, pula cedera parah selepas terjun dari rumah setelah gagal menyelamatkan anak dan isterinya.
Lebih menyayat hati, kedua beranak itu dijumpai rentung dalam keadaan berpelukan di ruang tamu di dalam bilik di tingkat atas.
Pengarah Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri Perak Datuk Yahaya Madis berkata kedua-dua mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri namun gagal ekoran asap tebal dan api yang marak.
"Orang ramai memaklumkan ada dua mangsa terperangkap di dalam rumah dan anggota kita cuba untuk masuk, namun api terlalu marak sehingga memaksa kami mengawal kebakaran dahulu sebelum berjaya menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan berpelukan," katanya.
Sementara itu, jurucakap BBP Hutan Melintang berkata berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 3.53 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi, kami mendapati sebuah rumah kelas B sedang mengalami kebakaran sebanyak 80 peratus sebelum menjumpai mayat kedua-dua mangsa wanita masing-masing berusia 48 dan 13 tahun ketika operasi pemadaman berlaku.
"Difahamkan, seorang lelaki dewasa yang dipercayai ayah kepada remaja perempuan itu mengalami kecederaan parah juga telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum pihak bomba tiba di lokasi," katanya kepada pemberita.
"Operasi yang diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Tuan Soh Tuan Lah itu memakan masa lebih tiga jam dan tamat sekitar 7.45 pagi," katanya lagi.