Ibu dalam pantang ditemukan maut
Muhafandi Muhamad
April 12, 2023 06:00 MYT
April 12, 2023 06:00 MYT
BACHOK: Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang ditemukan maut dengan kesan kecederaan di dalam bilik rumahnya di Kampung Beris, Panchor, di sini pada Rabu.
Kejadian berkenaan disedari adik mangsa, Wan Muhamad Nasir Wan Mahadi selepas memanjat dan menjumpai wanita yang berusia 35 tahun itu di biliknya yang dikunci dari dalam.
"Saya ambil tangga nampak keluar darah. Saya masuk pecahkan pintu.
"Anaknya ada di luar bersama ibu. Saya terus hubungi ambulans," katanya.
Wan Muhamad Nasir kemudian bertindak memecahkan pintu bilik sebelum menghubungi ambulans.
Menurutnya, kakaknya masih berpantang selama 36 hari selepas melahirkan anak yang semasa kejadian, berada bersama ibunya.
Sebelum kejadian mangsa dikatakan berbual menerusi telefon dengan suaminya yang bertugas di Kedah.
Ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, sempat melihat mangsa di dapur sebelum memasuki bilik sekitar jam 4 petang.
Wan Muhamad Nasir berkata, dia turut mencuba untuk membantu kakaknya sebelum menghubungi Klinik Kesihatan Beris.
Mangsa dikatakan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ketika membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Mangsa mempunyai empat orang anak dan bayi berusia 36 hari.