Ibu dakwa tangan bayi bengkak, melecur ketika terima rawatan di hospital

Sinar Harian
Julai 8, 2024 19:29 MYT
Insiden yang dipercayai berlaku bulan lalu itu tular di media sosial menerusi aplikasi Telegram.
MELAKA: Seorang bayi berusia satu bulan didakwa mengalami bengkak dan melecur di tangan selepas mendapat rawatan di hospital.
Insiden yang dipercayai berlaku bulan lalu itu tular di media sosial menerusi aplikasi Telegram.
Berdasarkan maklumat daripada tangkap layar e-mel yang ditulis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ibu berusia 35 tahun itu mendakwa, dia ke jabatan kecemasan hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan selepas bayinya mengalami batuk berkahak, nafas laju dan dada berlekuk.
Wanita itu telah ke hospital kira-kira jam 4 petang pada 9 Jun lalu sebelum tangan anaknya di pasang jarum untuk doktor mengambil darah.
"Sehinggalah anak saya dimasukkan ke wad kira-kira 7.30 malam sebelum ditukar ke wad lain kerana memerlukan oksigen yang sesuai.
"Sekitar 10 malam, jururawat mula memasukkan air drip kerana perlu berpuasa dalam keadaan anak dibedung," tulisnya lagi.
Ujarnya, kira-kira dua jam kemudian anaknya menangis kerana lapar sebelum jururawat membenarkannya memberikan susu badan kepada bayinya itu.
Dakwanya, bayi tersebut masih tidak selesa dan terus menangis sehingga jam 4 pagi walaupun tidak mengalami kembung perut atau kesukaran membuang air besar.
"Saya tergerak untuk membuka bedung dan melihat keadaan tangan kanannya sudah bengkak sehingga ke paras bahu.
"Keadaan tangannya seperti kena bakar membuatkan saya terkilan kerana datang sebab (rawatan) lain tapi sampai hospital lain pula sakit yang dapat," dakwanya lagi.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem ketika dihubungi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) telah menyiapkan kenyataan berhubung perkara itu.
"Bagaimanapun, kami sedang menunggu kelulusan daripada (Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan) berhubung isu ini," ujarnya. - Sinar Harian
#aduan terhadap hospital #isu tular #bayi satu bulan #bengkak
;