Ibu dakwa curi Nescafe untuk keperluan anak di universiti

Bernama
April 16, 2016 21:40 MYT
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan barangan curi itu disembunyikan di ketiak, di dalam tudung dan di dalam beg tangan mereka. - Gambar hiasan
Seorang ibu dan anak perempuannya yang belajar di sebuah universiti awam di Shah Alam, Selangor ditangkap kerana dikatakan mencuri 17 paket Nescafe di sebuah pasar raya besar dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata kedua-duanya yang berumur 56 dan 22 tahun mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Pasaraya Giant kira-kira 1.45 tengah hari.
"Kedua-duanya dalam perjalanan dari Sg Jawi, Pulau Pinang menghala ke rumah anggota keluarga mereka di Lumut dan singgah di pasar raya berkenaan.
"Si ibu mengaku melakukan jenayah tersebut kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung belanja harian anaknya di universiti tersebut," katanya.
Ng berkata penyelia pasar raya tersebut pada mulanya mendapati 17 paket Nescafe hilang daripada rak jualan semasa dia membuat semakan barangan.
"Berdasarkan kamera litar tertutup di premis tersebut didapati barangan itu dicuri oleh dua wanita dengan mengepit bungkusan berkenaan di ketiak mereka, menyoroknya di dalam tudung dan dalam beg tangan mereka.
"Kedua-dua suspek dapat dikesan dan dihubungi berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan mereka," katanya dan menambah anak beranak itu kini direman.
#curi Nescafe #ibu curi nescafe #keperluan anak di universiti #kes curi #mencuri di pasar raya
;