Ibu buntu, bayi tidak henti menangis air mata darah

Raffi Bachik
Ogos 15, 2016 15:48 MYT
Maryam Batrisya Abu Kassim, baru berusia dua bulan, ditimpa penyakit misteri di mana anak kecil ini menitiskan air mata darah hampir setiap hari.
Hati ibu mana yang tidak luluh apabila terpaksa melihat anak yang baru hendak mengenal dunia terpaksa menanggung kesakitan akibat penyakit yang dihidapi.
Itulah yang ditanggung Hazura Kamal Santhirasehar, 24 tahun, yang bingung dengan keadaan yang menimpa anaknya.
Maryam Batrisya Abu Kassim, baru berusia dua bulan, ditimpa penyakit 'misteri' di mana anak kecil ini menitiskan air mata darah hampir setiap hari.
Hazura berkata, penyakit yang dialami anaknya itu mula dikesan sejak kanak-kanak itu berusia lima hari.
Katanya, pada ketika itu, dia dan suami Abu Kassim Mahmuddin, 39 tahun, terkejut apabila melihat anak mereka menangis air mata darah.
Bercerita lanjut, ibu kepada lima anak ini berkata pada awalnya hanya mata kiri Maryam Batrisya yang mengeluarkan air mata darah.
Namun selepas mendapatkan rawatan hospital, mata sebelah kiri tidak lagi mengeluarkan air mata darah tetapi merebak pula ke mata kanan.
“Sejak umurnya lima hari, matanya merah. Mula-mula sebelah kiri, kemudian dalam seminggu sudah sembuh, sebelah kanan pula. Yang sebelah kanan itu sampai sekarang kerap berdarah.
Menurutnya lagi, dia kini buntu dengan keadaan yang menimpa Maryam Batrisya yang masih gagal diubati walaupun setelah berulang kali mendapatkan rawatan.
“Sudah dua kali discaj dari sini…memang kadang-kadang keadaan mata dia okey, kemudian jadi balik. Tidak terkiralah kerapnya, mungkin dalam 20 kali,” kata Hazura.
Katanya, setiap kali ingin membersihkan darah di mata anaknya itu, dia akan menggunakan sekurang-kurangnya empat batang putik kapas.
Katanya, meskipun sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital, namun anaknya masih lagi mengalami sakit mata selain kornea yang menjadi merah.
Sehingga kini, Maryam Batrisya masih lagi mendapatkan rawatan di Hospital Melaka bagi mengenal pasti punca dan rawatan terbaik.
Menurut pakar perunding mata di Jabatan Oftalmologi Hospital Melaka, Dr Raja Norliza Raja Omar, kanak-kanak ini menghidap jangkitan kuman pada kornea mata.
Katanya, ini merupakan perkara biasa kepada seseorang apabila dijangkiti kuman dan situasi itu merupakan tindak balas untuk mengeluarkan kotoran di dalam mata.
“Adik Mariam ini menghidap penyakit ‘Pseudomembranous Conjunctivitis’, lapisan yang menutupi bahagian mata putihnya berpenyakit. Jadi setiap kali kita buang, ia akan berdarah. Itu perkara biasa,” kata Dr Raja Norliza.
Jelasnya, penyakit ini tidak berbahaya, namun sekiranya bayi tidak mendapat rawatan susulan serta penjagaan rapi, ada risiko bayi boleh menjadi buta.
#air mata darah #Hazura Kamal Santhirasehar #Maryam Batrisya Abu Kassim #penyakit misteri
;