Ibu buang bayi dipenjara 16 bulan
Salim Aziz
Mei 16, 2019 13:50 MYT
Mei 16, 2019 13:50 MYT
Perbuatan kejam seorang wanita yang tergamak membuang bayi sendiri hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya berbalas, apabila dia dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret Langkawi, hari ini.
Majistret Mohd Ridzwan Salleh, memerintahkan demikian ke atas tertuduh, Noor Azlina Yusof, 36 tahun, dikuatkuasakan bermula tarikh dia ditahan, pada 3 Mei lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang memiliki tiga orang anak berusia 2 hingga 17 tahun itu didakwa membuang bayi berkenaan pada 27 April antara 12 tengah hari hingga 5.30 petang di tepi jalan Kampung Dato' Syed Nahar, mukim Kuah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh 2 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Nor Azli Mohd Khapiah.
Pada 2 Mei lalu, mayat bayi cukup sifat ditemui dalam keadaan berulat di dalam beg plastik sampah berwarna hitam, berdekatan terowong Kampung Dato’ syed Nahar.
#buang bayi
#hukuman penjara
#Kanun Keseksaan
#kes mahkamah
#noor azlina yusof
#Pertuduhan
#Tertuduh
#wanita dipenjara