Ibu bersama OKU rentung, rumah terbakar di Matu
Angelina Sinyang
Februari 5, 2020 12:57 MYT
Februari 5, 2020 12:57 MYT
Seorang ibu bersama anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung di ruang tamu dalam satu kebakaran yang berlaku di Matu, dekat sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian sama, empat yang lain terselamat dalam insiden sekitar jam 2.09 pagi, melibatkan dua buah rumah di Kampung Sekaan Kecil.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Remlah Mesie, berusia 50-an dan Sedah Sahari, 80-an.
"Dua mangsa yang maut ditemui semasa operasi menjalankan kerja-kerja overhaul di ruang rumah kedua sekitar jam 4.20 pagi," katanya.
Menurutnya, tiga daripada empat yang terselamat merupakan pasangan suami isteri iaitu Mahsi Rais dan Aminah Ali Ahmad, kedua-duanya berusia 60-an, serta Norhajijah Abdullah, 15 tahun, penghuni di rumah pertama.
Seorang lagi mangsa yang selamat, Abdul Razak Mesie, 40 tahun, yang tinggal di rumah kedua, bagaimanapun terpaksa dihantar ke hospital kerana mengalami sesak nafas.
Kedua-dua buah rumah jenis tidak kekal tersebut musnah 100 peratus dalam kejadian itu.
Mayat mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak polis di lokasi untuk tindakan lanjut.
Operasi pemadaman melibatkan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro bersama sebuah jentera Atego.
Ia diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Imran Ahmad dan Komander Operasi, Mustapha Wasli, selain enam anggota polis dan dua anggota Pasukan Bomba Sukarela.