Ibu bersama bayi usia 10 hari terperangkap banjir diselamatkan

Adie Sufian Zulkefli
November 4, 2021 12:19 MYT
Ibu berusia 27 tahun manakala bayi perempuan yang baru lahir 10 hari itu berjaya diselamat dan dipindahkan ke tempat selamat. - JBPM
ALOR SETAR: Seorang ibu bersama bayi sepuluh hari terperangkap selama lebih satu jam sebelum diselamatkan pasukan bomba selepas rumah mereka dinaiki air banjir di Kampung Binjai, Mukim Tajar, Alor Setar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.23 pagi.
“Ibu berusia 27 tahun manakala bayi perempuan yang baru lahir 10 hari itu berjaya diselamat dan dipindahkan ke tempat selamat.
"Pihak bomba dimaklumkan dua beranak itu terperangkap dalam rumah selepas kawasan rumah mereka dinaiki air.
"Kawasan rumah terbabit dinaiki air setinggi 0.25 meter dan operasi menyelamat dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja.
"Operasi disertai seramai enam anggota menggunakan sebuah jentera dan sebuah kenderaan utiliti Pajero," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat pada jam 10.27 pagi selepas kedua-dua mangsa diserahkan kepada ahli keluarga ke tempat selamat.
#mangsa banjir #bomba #Kampung Binjai #bayi terperangkap
;