Ibu bengkak kaki disepak anak kandung
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 28, 2019 17:12 MYT
Januari 28, 2019 17:12 MYT
Seorang penagih dadah tergamak memukul ibunya dalam kejadian amuk di rumah mereka di Permatang Kerai, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Lelaki terbabit berusia 23 tahun itu bertindak memukul ibunya sehingga wanita tersebut mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan dalam kejadian pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil soal siasat ke atas wanita itu, dia memaklumkan anak tunggalnya telah mengamuk dengan memecahkan kipas angin dan merosakkan barangan di rumah mereka.
Kata beliau, lelaki itu kemudian menyepak kaki mangsa sebelum bertindak melarikan diri dan membuat laporan polis.
Susulan laporan itu, polis berjaya menahan lelaki itu di rumah mereka dan siasatan awal mendapati suspek baru sahaja keluar dari Penjara Pulau Pinang bulan lalu.
Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif penyalahgunaan dadah dan pernah mendapatkan rawatan psikiatri pada tahun 2016.
Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.