Ibu bapa Zulfarhan sujud syukur, lega dengan keputusan Mahkamah Rayuan
Umavathi Ramayah
Julai 23, 2024 15:30 MYT
Julai 23, 2024 15:30 MYT
PUTRAJAYA: Ibu dan bapa mangsa dera dan buli, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain kelihatan bersujud sebagai tanda bersyukur sebaik sahaja keluar dari Mahkamah Rayuan 3, di sini selepas mahkamah memerintah hukuman gantung ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Ringkasan AI
- Keputusan Mahkamah: Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan mendera dan membuli Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
- Reaksi Keluarga: Ibu bapa mangsa, Zulkarnain Idros dan Hawa Osman, berasa lega dan bersyukur dengan keputusan tersebut. Mereka mengalirkan air mata ketika mendengar keputusan mahkamah yang mengambil masa lebih tiga jam.
- Keadilan Ditegakkan: Zulkarnain menyatakan bahawa keadilan untuk anaknya telah ditegakkan dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk peguam pendakwa raya dan hakim Mahkamah Rayuan.
Bapa mangsa, Zulkarnain Idros, 60, dan isterinya, Hawa Osman, 61, berkata, mereka lega dengan keputusan yang setimpal dijatuhkan ke atas pelaku-pelaku terhadap anak lelakinya.
Pasangan itu memberitahu, mereka mengalirkan air mata ketika keputusan lebih tiga jam yang dibacakan Datuk Hadhariah Syed Ismail.
"Kami sekeluarga berasa sedih apabila hakim membaca fakta kes dari awal kejadian buli terbabit yang selama ini kami sekeluarga tidak tahu cerita sebenar dan tindakan yang dilakukan oleh kesemua suspek.
"Selama ini ada perbuatan buli yang dilakukan ke atas mangsa tidak diketahui.
"Kami tak berkesempatan mendengar perbicaraan di Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur) sebelum ini," ujarnya ketika ditemui di sini, pada Selasa.
Zulkarnain turut menyatakan #justice4farhan ditegakkan untuk anaknya yang menjadi mangsa buli di institusi itu.
"Saya bersyukur dan terima kasih kepada Allah SWT kerana telah memakbulkan doa kami sekeluarga dan doa seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini.
"Jutaan terima kasih juga kepada seluruh barisan peguam pendakwa raya yang mematahkan semua hujah-hujah serta membuktikan akhirnya adanya niat membunuh ke atas anak kami.
"Terima kasih juga buat hakim Mahkamah Rayuan kerana membuat keputusan tepat dengan mengenakan hukuman gantung kepada pesalah," katanya lagi.