Ibu bapa Zayn Rayyan tiba di mahkamah

Umavathi Ramayah
Julai 26, 2024 00:50 MYT
Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 8.45 pagi. - Astro AWANI
PETALING JAYA: Ibu bapa kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh pada Disember tahu lalu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, hari ini.
Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf tiba kira-kira pukul 8.45 pagi untuk prosiding sebutan kes bagi pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal kepada kanak-kanak itu di Mahkamah Sesyen, di sini.
Turut hadir bagi mendengar prosiding adalah datuk dan nenek mangsa, Zahari Mohd Reba dan Hasni Zakaria.
Kedua-dua tertuduh, yang berusia 29 tahun, sebelum ini didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu, mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Pasangan itu bagaimana mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, di sini, antara 5 Disember lalu pada jam 12 tengah hari hingga keesokannya jam 9.55 malam.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah sebelum ini membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Tiada syarat pasport kerana dokumen perjalanan tertuduh sudah tamat tempoh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai.
Zaim dan Ismanira ditahan reman pada 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.
Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
#Zayn Rayyan Abdul Matiin #Zaim Ikhwan Zahari #Ismanira Abdul Manaf #prosiding sebutan kes