Ibu bapa Zayn Rayyan mohon dibebaskan serta-merta

Sinar Harian
Januari 23, 2025 12:45 MYT
Zaim Ikhwan dan Ismanira hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Khamis bagi prosiding sebutan kes mengabai Zayn Rayyan, Disember 2023 lalu. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin memohon kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa lalu agar dibebaskan serta-merta daripada satu pertuduhan mengabai kanak kanak-kanak autisme itu.
Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf selaku pemohon, membuat permintaan berkenaan dalam notis usul yang difailkan menerusi Tetuan Wong & Co dengan menamakan pihak pendakwaan sebagai responden.
Berdasarkan notis usul terbabit, pasangan berusia 30 tahun itu memohon kes berkenaan dibatalkan dengan alasan pertuduhan yang dibuat pada 13 Jun 2024, tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Malah, mereka mendakwa ia tidak mengandungi maklumat yang mencukupi mengenai unsur-unsur kesalahan yang didakwa dilakukan.
“Oleh itu, kedua-dua tertuduh selaku pemohon telah diprejudiskan dengan serius sekali gus menjadikan pertuduhan jenayah tersebut sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah,” kata dokumen yang diperoleh media di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, mereka mendakwa tidak menemui butiran mengenai kesalahan yang didakwa telah dilakukan.
Menurut mereka, ketiadaan fakta penting ini menyebabkan mereka tidak dapat memberi arahan kepada peguam.
“Susulan itu, kami tidak tahu cara untuk mempertahankan diri, menyebabkan kami gagal menyediakan pembelaan,” katanya dalam afidavit sokongan yang diperoleh daripada pihak pembelaan.
Menurut pemohon, pertuduhan itu tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) menyebabkan mereka tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, Peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira mengesahkan sudah menyerahkan notis usul itu kepada Mahkamah Tinggi dan Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui e-mel.
Justeru, beliau meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan bermula 3 Februari depan.
“Jika perbicaraan diteruskan tanpa keputusan Mahkamah Tinggi, maka prosiding kes di Mahkamah Sesyen ini akan menjadi sia-sia," katanya.
Mendengar makluman itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengesahkan telah menerima permohonan daripada pihak pembelaan.
Pendakwaan berpendapat, notis itu perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum prosiding bermula.
“Permohonan berkenaan dimasukkan dua hari lepas maka ia tidak sempat didengar dalam masa terdekat.
“Kami serahkan kepada mahkamah berhubung tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 3 hingga 7 Februari depan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan terbabit, Hakim Dr Syahlizah Warnoh menetapkan 28 Januari ini bagi pengurusan kes untuk status permohonan notis itu.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri ini mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. - Sinar Harian
#Zayn Rayyan #Zaim Ikhwan Zahari #Ismanira Abdul Manaf #dibebaskan
;