Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan
Sinar Harian
Mei 31, 2024 04:45 MYT
Mei 31, 2024 04:45 MYT
PETALING JAYA: Pasangan suami isteri yang juga ibu dan bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 tahun, yang meningggal dunia akibat dibunuh dalam kejadian di Damansara Damai, Disember lalu diberkas pada Jumaat.
Difahamkan dua individu itu ditahan di sekitar Puncak Alam kira-kira jam 11 pagi.
Bagaimanapun butiran berkaitan penahanan terbabit belum diperoleh setakat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan berkaitan tangkapan.
Pada 7 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. - Sinar Harian