Ibu bapa sebak terima ijazah Anumerta anak

Bernama
Disember 12, 2022 18:25 MYT
Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 28, maut apabila kenderaan dipandunya terbabas di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Setiu di Terengganu pada 13 Okt 2021. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Tiada ungkapan mampu dilafazkan sepasang suami isteri tatkala menerima Anugerah Anumerta buat Allahyarham anak mereka pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia(USM) ke-60, di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) hari ini.
Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 28, maut apabila kenderaan dipandunya terbabas di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Setiu di Terengganu pada 13 Okt 2021, selepas selesai menjalani pengambaran filem di Kelantan ketika mahu pulang ke rumah di Kuala Lumpur.
Abdul Malek Abdul Samad, 59, berkata anak ketiga daripada tujuh beradik itu, sedang bercuti semester dan beliau mengambil peluang bekerja sambilan dengan sebuah syarikat produksi sebagai jurugambar ketika kejadian kemalangan.
Dia yang hadir bersama isterinya Sabariah Nawin, 53, berkata kehilangan Muhammad Nurshamril memang memberi kesan kepada mereka sekeluarga kerana arwah adalah seorang anak yang baik, ringan tulang dan rajin membantu ahli keluarga terutama adik-adiknya.
"Memang sedihlah, dia belajar okey malah memang hendak ambil jurusan Sarjana Muda Komunikasi Kepujian Filem dan Penyiaran di USM, dia juga memang bercita-cita untuk sambung belajar ke luar negara...arwah ini seorang yang tenang, baik dan suka tolong orang terutama rakan-rakannya dengan berkongsi ilmu dalam bidang perfileman berkaitan videografi serta suntingan.
"Kalau cuti semester selain dia bekerja sambilan sebagai kru di syarikat produksi, arwah juga sering menjadi rujukan rakan-rakannya untuk berkongsi teknik dan ilmu dalam videografi serta suntingan...dia memang minat sangat dalam bidang tersebut," katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Anumerta hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sr Dr Zulkefli A. Hassan dan pada sidang ke-10 konvokesyen tersebut sebanyak 738 graduan jurusan menerima skrol ijazah masing-masing.
Abdul Malek yang beberapa kali menahan sebak dan menangis ketika ditemu bual berkata walaupun terkilan arwah anaknya tidak sempat menerima sendiri ijazah tersebut, dia bangga apabila anaknya hampir berjaya menghabiskan pengajian di USM.
"Hanya dua semester lagi arwah nak tamatkan pengajiannya namun Allah lebih menyayanginya," katanya yang bekerja sebagai pemandu bas sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur.
Pada sidang itu, tiga pasangan kembar seiras turut teruja meraikan graduasi mereka hari ini malah setiap pasangan tersebut mengambil kos yang sama kerana tidak mahu terpisah ketika mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Bagi Dhika Marzuki, 24, dan adik kembarnya Dhita, mereka memang dari kecil tidak pernah berpisah malah sentiasa merancang belajar di sekolah dan menyambung ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang serta universiti yang sama.
Dhika berkata mereka berasal dari Kajang, Selangor menerima Ijazah Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Perancangan sentiasa berkongsi minat yang sama dalam semua bidang malah ketika ini juga dia dan adiknya itu bekerja di sebuah syarikat sama sebagai juruukur tanah.
"Alhamdulillah akhirnya kami berjaya bersama-sama menamatkan pengajian dalam bidang yang memang kami suka dan minat, perancangan lepas ini mungkin nak sambung belajar ke peringkat lebih tinggi lagi di luar negara," katanya.
Dua lagi pasangan kembar iaitu Nuranis Qhaleeda Ahmad Pesal, 23 dan adiknya Nuranis Qhaleezah serta J.Kalaaivanny, 23, bersama kakak kembarnya J.Kalaaivehny menerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian Perakauan.
Kalaaivanny, berkata dia dan pasangan kembarnya berasal dari Ipoh, Perak dan memang sejak kecil mereka memasang hasrat untuk belajar serta konvokesyen pada majlis yang sama.
"Sekarang ini kami sedang mencari pekerjaan dan telah menghantar beberapa permohonan, saya harap kami dapat bekerja di tempat yang sama atau sekurang-kurangnya di kawasan berhampiran kerana memang dari kecil kami selalu bersama," katanya.
-- BERNAMA
#Universiti Sains Malaysia #Anugerah anumerta #konvokesyen #ijazah
;