Ibu, bapa saudara durjana: Remaja jadi hamba seks hampir 3 tahun
Shuhada Abdul Kadir
Julai 25, 2021 00:04 MYT
Julai 25, 2021 00:04 MYT
ALOR GAJAH: Seorang remaja perempuan menanggung derita hampir tiga tahun dipaksa menjadi hamba seks bapa saudaranya atas arahan isteri lelaki itu di Melaka.
Perbuatan terkutuk pasangan itu terbongkar selepas remaja perempuan berkenaan yang kini berusia 18 tahun tampil membuat laporan polis pada Ahad minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa mendakwa kejadian bermula sejak Oktober 2018 selepas ibu saudaranya mengarahkan dia melakukan hubungan seks dengan suaminya.
“Remaja ini membuat laporan polis mendakwa dia telah menjadi mangsa rogol bapa saudaranya yang berusia 39 tahun sejak Oktober 2018.
“Kejadian bermula apabila ibu saudaranya yang menjaganya sejak dia berusia 10 tahun memanggilnya kononnya untuk memeriksa sama ada dia masih dara atau tidak, sebelum menyuruh mangsa melakukan hubungan seks dengan suaminya.
“Bapa saudaranya telah merogolnya berulang kali sehingga bulan ini dan kesemuanya di dalam pengetahuan ibu saudaranya yang berusia 37 tahun itu, namun wanita itu tidak mempedulikannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, ujar Mohd Sukri, susulan laporan itu, ibu saudara mangsa ditahan pada hari sama laporan dibuat, manakala bapa saudaranya ditahan 22 Julai lalu.
“Suspek utama lelaki itu telah kita tahan di Kuala Sungai Baru dan kini sedang direman sehingga 29 Julai depan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017," tambahnya.