KOTA BHARU: Golongan ibu bapa perlu yakin dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dijalankan oleh kerajaan dan jangan sesekali terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan oleh pihak tertentu khususnya melalui media sosial.

Mufti Kelantan Datuk Mohamed Shukri Mohamed berkata pengaruh media sosial yang mengatakan kemungkinan adanya kesan sampingan menyebabkan ada golongan ibu bapa bimbang untuk menyenaraikan anak mereka untuk divaksin.

Beliau berkata suntikan vaksin ke atas kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun yang dimulakan oleh kerajaan baru-baru ini telah pun diputuskan oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJFK) dan mengikut garis panduan yang dibenarkan.

"Apa yang kita lihat sekarang kanak-kanak di seluruh dunia sudah pun mengambil vaksin dan terbukti ia baik untuk kanak-kanak. Dari segi aspek mudarat kalau kita tengok majoriti seluruh dunia sudah mengambil vaksin dos satu, dua dan tiga untuk dewasa dan terbukti berkesan.

"Sekarang adalah permulaan vaksin untuk kanak-kanak. Bagi pendapat saya masyarakat tidak perlu mengambil serius perkara ini kerana sebelum ini banyak vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak dan kenapa ketika itu masyarakat tidak bising?" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Shukri berkata kerajaan memperkenalkan vaksin bukan untuk tujuan negatif atau keburukan tetapi semata-mata untuk kebaikan kepada rakyat.

"Sebelum ini, kerajaan berbelanja berbilion ringgit bagi membantu rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya menyeru kepada masyarakat semua terutamanya di Kelantan agar berubah cara berfikir dan anggaplah vaksin sebenarnya adalah untuk kebaikan," katanya.

-- BERNAMA