Ibu bapa perlu kawal emosi, bimbing anak tuju kejayaan

Farhan Hakimi
Mei 27, 2024 12:23 MYT
Ibu bapa wajar berasa sedih sekiranya anak gagal memperoleh keputusan yang baik tetapi perasaan itu perlu dikawal kerana anak-anak memerlukan suntikan motivasi dan galakan dari orang tua mereka. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak melampiaskan kemarahan mereka sehingga boleh mengguris hati anak meskipun berasa kecewa dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehi.
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan Dan Kaunseling Universiti Malaya Prof Madya Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, sebaliknya, ibu bapa perlu bimbing anak untuk menjejaki laluan yang membuka pintu kejayaan pada masa depan.
Katanya, perasaan sedih itu wajar dirasai tetapi perlu dikawal kerana pada waktu di mana anak memperolehi keputusan, mereka memerlukan suntikan motivasi dan galakan dari ibu bapa.
"Kita perlu ingat bahawa, anak itu menanggung beban yang paling besar atas kegagalannya itu.
"Jadi sebagai ibu bapa, kita perlu kawal dahulu emosi itu, kerana anak itu berlipat kali ganda kecewanya daripada kita, walaupun mungkin luarannya terlihat positif.
"Oleh itu sebagai ibu bapa, nasihat saya, kita duduk, dampingi anak tersebut, fahami dia dan terimalah apa juga keputusan secara positif," ujarnya.
Tambah Mohd Nazri, apabila ibu bapa mampu mengendalikan emosi dengan baik, selain memberi respons yang positif, anak juga akan berubah menjadi positif dan melihat lebih banyak pintu kejayaan di hadapan mereka.
Pandangan itu dikongsikan beliau dalam program AWANI Pagi hari ini.
#SPM #keputusan spm #ibu bapa #kawal emosi
;