Ibu bapa perlu bersifat terbuka dalam pendidikan seks berlandaskan agama
Dania Zainuddin
November 1, 2015 22:44 MYT
November 1, 2015 22:44 MYT
Ibu bapa digalak untuk lebih bersifat terbuka dalam memberi pendidikan seks berlandaskan agama kepada anak-anak terutamanya pada peringkat awal remaja.
Saranan itu dibuat Ketua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam, Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang melihat pendidikan awal itu mampu mencegah gejala sosial remaja seperti mengandung anak luar nikah.
Menurut Nik Safiah, gejala negatif dalam kalangan remaja semakin lumrah dan semua pihak khususnya ibu bapa, termasuk guru, pemimipin serta golongan agama bertanggungjawab memupuk kesedaran dan pendidikan kepada golongan remaja.
"Kita perlu memberi pendidikan kepada anak-anak supaya mereka tahu apa yang boleh dibuat dan apa perlu dielak.
"Pendidikan seks berlandaskan agama perlu diberi penekanan, terutamanya dari ibu bapa," kata Nik Safiah dalam temubual bersama Astro AWANI.
Nik Safiah turut menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kesediaan mereka melindungi remaja yang mengandung luar nikah dan diabaikan keluarga.
Bagaimanapun katanya, ia tidak mencukupi kerana tidak menyelesaikan punca kepada masalah gejala ini.
"Walaupun ada banyak pusat perlindungan dan pemulihan, ia hanya bantu menyelesaikan masalah gejala sosial lain seperti pembuangan bayi atau anak terbiar.
"Kita perlu melihatnya dari sudut lain dan menyelesaikan punca masalah itu.
"Pendidikan kepada remaja itu sangat diharuskan supaya mereka mengetahui untuk tidak melakukan perkara itu dan mengetahui apa yang perlu dibuat jika terlanjur," kata Nik Safiah lagi.
Nik Safiah turut menggesa semua pihak memainkan peranan dan bekerjasama untuk terus membendung masalah ini.