Ibu bapa perlu bantu guru dalam proses PdPR - Habibah

Fauzi Suhaimi
November 10, 2020 18:12 MYT
Kaedah PdPR yang diketengahkan kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada pembelajaran kendiri oleh murid atau pelajar dan memerlukan kerjasama ibu bapa, kata Dr Habibah Abdul Rahim. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Semua ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab membantu guru-guru ketika proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) khususnya kepada anak-anak yang di bawah umur.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, ini kerana, kaedah itu nyata berbeza dengan PdP secara bersemuka seperti mana yang dilakukan sebelum ini.
Menurut beliau, kaedah PdPR yang diketengahkan kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada pembelajaran kendiri oleh murid atau pelajar.
"Sistem pembelajaran bersemuka tidak akan sama dengan PdPR meskipun dilakukan menerusi Google Classroom kerana ia bukan secara fizikal.
"Jadi, sudah tentu kaedahnya juga perlu berbeza dan murid lebih banyak belajar kendiri," katanya dalam sesi Taklimat Media, di sini pada Selasa.
BACA: Jangan anggap tempoh sekolah tutup sebagai cuti - Habibah
Dalam perkembangan lain, Habibah berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) kepada guru-guru untuk melaksanakan PdPR.
"Ini kerana, kita tidak mahu memberikan tekanan (kepada guru), sebaliknya kita mengesyorkan pihak pentadbir sekolah untuk memantau bagaimana guru boleh melaksanakan PdPR.
"Ada sekolah yang membuat pemantauan secara harian (dan ada) juga di peringkat negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)," katanya.
BACA: 346 sekolah belum laksana peperiksaan percubaan SPM - KP Pelajaran
#pengajaran dan pembelajaran #Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim #Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah PdPR #Pembelajaran dan Pengajaran PdP #sekolah #PKPB #COVID-19
;