Ibu bapa, pengasuh bayi maut dipercayai didera ditahan
Bernama
Mac 24, 2018 17:23 MYT
Mac 24, 2018 17:23 MYT
Polis menahan empat suspek termasuk ibu kandung dan bapa tiri seorang bayi perempuan yang meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Seri Manjung dipercayai akibat didera bagi membantu siasatan
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman berkata, selain pasangan terbabit, pihaknya turut menahan pasangan suami isteri yang juga pengasuh kepada bayi tersebut.
"Kita menahan kesemua suspek yang berumur lingkungan 25 hingga 35 tahun itu bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.
Muhammad Hanif berkata, kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Bayi perempuan berumur enam bulan itu meninggal dunia kira-kira 6.45 pagi tadi selepas dirawat lebih empat jam di Hospital Seri Manjung, disyaki akibat didera.
- BERNAMA